Sunday, 27 September 2015

PILIHAN

Setiap manusia telah dikurniakan akal oleh Allah untuk mereka membuat pilihan. Baik atau buruk, lurus atau bengkok, betul atau salah. Namun berapa ramai yang berjaya membuat pilihan yang betul dan tepat?

Sejujurnya, saya sendiri tidak pasti dengan setiap pilihan yang saya buat dalam hidup saya. Sama ada betul mahupun salah. Yang pasti, saya redha dan bersyukur atas segala takdir yang telah tertulis untuk saya. Saya yakin bahawa jika saya tidak memperoleh sesuatu yang saya pilih, bermakna Allah telah sediakan sesuatu yang lebih baik daripada itu. Kita selalu dengar bahawa kita merancang, Allah pun merancang. Tetapi perancangan Allah jauh lebih baik.

Berbekalkan kata-kata ini, saya dapat melalui setiap detik kehidupan dengan gembira dan sentiasa bersyukur atas setiap pilihan yang dibuat mahupun terpaksa dibuat.




SYUHAIDARAWI

OBSES

Obses sering dikaitkan dengan fanatik dan sikap yang melampau-lampau terhadap sesuatu. Sesetengah orang menganggap obses sebagai satu sikap yang buruk dan boleh membawa bencana kepada seseorang individu.Tetapi tidak pada pandangan saya. Saya lebih suka menilai obses dari sudut yang positif.Cuba anda bayangkan, kalau seseorang terlalu obses dengan ilmu, pasti dia akan menjadi seorang cendekiawan kelak. Bukankah ini merupakan satu obses yang bagus? Begitu juga kalau seseorang itu terlalu obses dengan sukan. Tidak mustahil jika satu hari nanti dia akan menjadi atlet terkenal yang akan mengharumkan nama negara di mata dunia.Oleh itu, jangan pernah menilai sesuatu berdasarkan peratus kecenderungannya. Sebaliknya, nilai sesuatu perkara secara adil iaitu dengan mengambilkira kedua-dua aspek positif dan negatif. Cara anda berfikir menentukan keperbadian dan buatlah keputusan yang bijak. Jangan terlalu obses untuk me'negatifkan' sesuatu.








SYUHAIDARAWI